Warna Kuning : Kesetiaan ( Untuk belajar )
Warna Merah : Semangat ( Untuk mencari ilmu )
Warna Hitam : Kecacatan ( Pendengaran dan Penglihatan )
Warna Hijau : Kesegaran ( Fizikal dan Mental )
Warna Putih : Kesucian ( Fikiran dan Perbuatan )
Obor : Semangat dan harapan yang tidak kunjung padam untuk menuntut ilmu
Buku : Ilmu yang dipelajari
Padi : Negeri Sembilan Darul Khusus
Kubah : Mercu kejayaan
SEJARAH SEKOLAH
Pada tahun 1962, kelas khas untuk murid-murid bermasalah pendengaran dimulakan oleh mendiang En.V.S Param di Sekolah Rendah Dato’ Klana Maamor, Seremban dalam rancangan kelas percantuman. Guru yang pertama mengajar dikelas tersebut ialah En. Lee Kang Hai.
Pada peringkat awal penubuhannya terdapat 12 orang murid sahaja dan ditempatkan dalam satu kelas. Pada tahun 1967, kelas ini bertambah kepada dua dengan bertambahnya bilangan murid dan tenaga pengajar dan seterusnya menjadi empat buah kelas dengan empat orang tenaga pengajar pada tahun 1977.
Pada tahun 1978, sebuah mini asrama telah dibina dengan kerjasama AJK Mini Asrama dan Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah mendapat kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Dengan adanya mini asrama ini bilangan murid telah bertambah dari 36 orang kepada 56 orang dengan tenaga pengajar seramai 6 orang. Sehinggalah pada tahun 1985, sebuah bangunan asrama yang baru telah dibina yang memuatkan 100 orang murid.
Pada tahun 1987, kelas ini tidak lagi menjadi kelas percantuman. Pentadbiran sekolah ini telah dipisahkan dari Sekolah Rendah Dato’ Klana Maamor, Seremban dan Puan Rosbiah Bt. Mohd.Tahir telah dilantik menjadi guru besar bagi Sekolah Rendah Pendidikan Khas Seremban.
Kelas khas bagi murid-murid bermasalah penglihatan telah dibuka pada tahun 1989 dengan dua orang murid dan seorang tenaga pengajar. Pada tahun 1990, sebuah kelas Pra Sekolah telah dimulakan dengan 6 orang murid. Dengan adanya kelas ini, intervensi awal dapat dijalankan demi membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah pendengaran.
Pada tahun 1991, Sekolah Rendah Pendidikan Khas Seremban telah mendapat sebuah bangunan yang baru. Bangunan baru empat tingkat ini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik kelas, bengkel kemahiran hidup, bilik audiologi, pusat sumber sekolah, perpustakaan, klinik, bilik guru serta pejabat. Sekolah ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Amar Dr. Hj. Sulaiman B. Hj. Daud, Menteri Pelajaran ketika itu, pada 15 April 1994.
SK Pendidikan Khas Seremban,
Jln Muthu Cumaru
70200 Seremban
Email: skpk_seremban@hotmail.com Tel: 067624181