Sabtu, 25 April 2009

July 01, 2008 17:50 PM

Dua Warga Emas Maut Dalam Nahas Melibatkan Tiga Kenderaan

KUANTAN, 1 Julai (Bernama) -- Dua warga emas terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk sebuah bas kilang di Km24 Jalan Maran-Bandar Jengka, dekat Maran awal pagi ini.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran ketika dihubungi Bernama, berkata mangsa yang terbunuh ialah penunggang motosikal, A. Hamid Jusoh, 57, dari Felda Kenaga dekat Jengka 7, Maran dan penumpang kereta, Mohd Din Samsuddin, 61, dari Jengka 2, Maran.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 6.50 pagi itu, motosikal A. Hamid yang dalam perjalanan dari arah Jengka menuju ke Maran dipercayai dilanggar kereta yang dinaiki Mohd Din sebelum kereta berkenaan terbabas dan bertembung dengan sebuah bas kilang.

"A. Hamid mati di tempat kejadian manakala Mohd Din meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Jengka," katanya.

Beliau berkata kemalangan itu turut menyebabkan tiga daripada lima penumpang bas kilang berkenaan, pemandu dan penumpang kereta terbabit cedera ringan dan kesemua mereka mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jengka.

--DIPETIK DARI BERNAMA

KEMALANGAN PADA 1/7/2008 DI JENGKA.




2 warga emas terbunuh, lima cedera dalam nahas

Kereta terbabas selepas rempuh motosikal bertembung dengan bas

MARAN: Dua warga emas maut, lima cedera termasuk tiga parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan bas kilang, motosikal dan kereta, di Kilometer 24, Jalan Maran-Bandar Jengka, dekat Felda Jengka 4, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, A Hamid Jusoh, 57, dari Felda Kenanga, Jengka 7 dan Mohd Din Samsuddin, 61, dari Felda Jengka 2, dekat sini, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bandar Jengka (HBJ) akibat cedera parah di kepala.

Mangsa yang parah dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh ialah pemandu bas, Sidek Mat Hussin, 60, dan dua penumpangnya, Ruziana Alias, 22, dan Norsam Salim, 27, manakala mangsa yang cedera ringan ialah anak perempuan Mohd Din, Normala, 27, dan Salina, 37.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata kejadian berlaku apabila A Hamid yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Jengka ke Maran, dilanggar dari arah belakang oleh kereta dipandu Normala.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke kiri jalan, manakala kereta dipandu Normala terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas kilang.

Katanya, bas kilang itu kemudian jatuh ke tebing, menyebabkan Sidek, Ruziana dan Norsam parah, manakala Normala, Salina dan Mohd Din yang duduk di belakang kereta tersepit.

"Mohd Din dan dua anak perempuannya yang tersepit dalam kereta Proton Wira berjaya dikeluarkan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Bandar Jengka.

"Semua yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, Mohd Din dan A Hamid disahkan meninggal dunia di HBJ ketika menerima rawatan akibat cedera di kepala," katanya di sini, semalam.

Mohd Johari berkata, polis masih meneruskan siasatan kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, saksi kejadian, Azmi Omar, 42, berkata dia cuba menenangkan Normala dan Salina selepas melihat mangsa menggelabah dan panik ketika melihat bapanya berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa sempat menjerit ketika menghubungi abangnya supaya datang segera ke tempat kejadian untuk melihat keadaan bapanya.

KEMALANGAN PADA 1/7/2008 DI JENGKA.


ARKIB : 02/07/2008

2 warga emas maut nahas

MARAN 1 Julai - Dua warga emas maut selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk sebuah bas kilang di Kilometer 24, Jalan Maran-Bandar Jengka, dekat Maran, awal pagi tadi.

Mangsa yang terbunuh ialah penunggang motosikal, A. Hamid Jusoh, 57, dari Felda Jengka 7 dan penumpang kereta, Mohd. Din Samsuddin, 61, dari Felda Jengka 2.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu berlaku apabila motosikal yang dinaiki A. Hamid yang dalam perjalanan dari arah Jengka menuju Maran dipercayai dilanggar kereta yang dinaiki Mohd. Din dari arah belakang.

''Selepas itu, kereta berkenaan terbabas dan berlanggar pula dengan sebuah bas kilang yang datang dari arah bertentangan.

''Kejadian itu menyebabkan A. Hamid terpelanting di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut beliau, Mohd. Din yang duduk di bahagian belakang kereta meninggal dunia di Hospital Jengka akibat cedera parah.

Katanya lagi, pemandu dan empat lagi penumpang bas kilang berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

''Turut menerima rawatan pesakit luar ialah pemandu dan penumpang kereta tersebut yang mengalami kecederaan ringan," katanya.

Kes berkenaan, tambah beliau, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

DIPETIK DARI AKHBAR UTUSAN MALAYSIA.


Kumpul sejuta setem.

Direka oleh seorang guru bernama, Sir Rowland Hill, wartawan SUBASHINI RAJANDRA berpeluang melihat setem pertama di dunia yang dikeluarkan pada tahun 1840 oleh Pos Penny Great Britain yang dikenali sebagai 'Penny Black'.




HOBI mengumpul setem adalah salah satu aktiviti masa lapang tertua dan terkenal di serata dunia. Sewaktu muda, ramai dalam kalangan kita suka menyelak sampul surat yang dihantar ke rumah. Setem yang telah dicop disimpan sebagai koleksi persendirian dalam buku khas.

Hari ini, hobi silam itu jauh lebih popular daripada sekadar mengumpul dan menjaga kepingan setem yang berusia ratusan tahun. Dianggarkan hampir 25 juta orang di Amerika Syarikat (AS) masih giat dalam kerja-kerja mencari dan menyimpan setem secara terurus. Di peringkat dunia pula, hobi ini menjadi kegilaan sejumlah 200 juta orang pengumpul. Mereka ini diwakili atau disokong oleh 125,000 pembekal, pengeluar, katalog dan media percetakan yang tidak jemu memberi input perkembangan dunia setem terkini.

Persatuan dan kelab diwujudkan bagi membimbing dan menghimpunkan peminat setia setem dari seluruh negara. Pelbagai jenis pameran dan pertandingan setem diadakan di negara-negara seperti Thailand, India, Jepun, Britain dan AS. Sesekali, pameran terbesar mampu menarik sehingga 100,000 orang pengunjung dalam sehari iaitu lebih daripada penonton yang hadir menyaksikan sambutan Tahun Baru.

Seperti yang disebutkan terlebih dahulu, minat ini biasanya menguntum semasa berada di bangku sekolah dan ternyata perkara yang sama terjadi kepada C. Nagarajah, 71.

Beliau berjinak-jinak dengan hobi barunya yang dilihat sebagai unik dan tidak terkongkong kepada satu-satu topik. Sambil menyertai kelab sekolah yang menggalakkan penglibatan dalam hobi ini, Nagarajah saling bertukar setem dengan kawan-kawan.

"Hanya selepas saya bertambah matang, barulah saya sedar bahawa minat ini mempunyai nilai yang tinggi. Tahukah anda bahawa terdapat 12 kategori atau jenis pengumpulan setem? Antaranya ialah mengumpul setem mengikut tema seperti sukan, motokar, orang kenamaan serta sejarah sistem pos, negara dan lain-lain."

"Jangan berlagak pandai kumpul semua jenis setem kerana bukan sahaja ia cukup mahal tetapi ingat bahawa terdapat 200 negara yang mengeluarkan setem negara masing-masing," jelas Nagarajah yang merupakan ahli tertua Persatuan Pengumpul Setem Malaysia (PSM) yang ditubuhkan pada tahun 1947.

PSM mempunyai kira-kira 1,200 orang ahli di seluruh negara dan merupakan ahli Persekutuan Pengumpul Setem Inter-Asia (FIAP).


SETEM pertama di dunia menjadi antara koleksi paling berharga C. Nagarajah.


Persatuan ini mengeluarkan jurnal setem yang membincangkan bab pengenalan setem, percetakan, keistimewaan hinggalah hobi pengumpulan setem. Bagaimanapun, pada tahun 2000, penerbitan jurnal ini dihentikan dan C. Nagarajah yang menjadi ketua pengarang sejak tahun 1958 meletak jawatan.

"Kemudian saya memulakan penerbitan Buletin Filateli Malaysia pada 2004 tetapi terpaksa dihentikan pada tahun lalu kerana gagal mendapat tajaan luar," katanya yang meletak jawatan Naib Presiden Kanan PSM pada tahun 2000.

Kategori pengumpulan setem yang popular adalah mengikut negara tetapi Nagarajah menasihatkan supaya mengumpul setem dari negara sendiri kerana ia tidak mahal dan mudah diperoleh.

Oleh kerana pengeluaran setem bergantung sepenuhnya kepada imbangan pengeluaran dan permintaan, ada di antara setem mencapai harga berlipat ganda.

"Ini terutamanya berlaku pada setem lama yang sukar dicari dan harganya melonjak 20 atau 30 kali ganda. Ada juga setem yang 200 peratus lebih mahal daripada nilai asal," ujar Nagarajah yang mengkhusus kepada pengumpulan setem tradisional.

Negeri yang paling digemari ialah Kedah. Meskipun lahir di Teluk Intan, Perak, namun sebelum merdeka Kedah dikatakan menggunakan setem India dan juga dari negara Siam (Thailand).


KIRI: SETEM yang memaparkan wajah Elvis Presley.


Dia memiliki koleksi lengkap setem dari Kedah dan yang terawal adalah pada 1912.

"Saya sering berkongsi pandangan selain membeli setem lama dari pameran di luar negara. Lebih baik lakukan urusan jual beli di rumah lelongan seperti di London dan Australia kerana kutipannya lebih tinggi daripada kawan-kawan," ujarnya.

Nagarajah yang suka mengumpul setem yang telah dicop, menyimpan koleksinya dalam bentuk profil bertulis dengan sedikit penerangan tentang setem berkenaan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris. Jangan terkejut kerana setakat ini, Nagarajah adalah pemilik kepada sejuta setem yang disimpan selamat di bank.

"Tiada siapa dapat menyangkal bahawa setem adalah duta sesebuah negara yang 'bergerak'. Ia adalah seni miniatur yang diiktiraf. Kehilangan sekeping setem adalah umpama kehilangan seorang anggota keluarga."

Sambungnya: "Remaja sekarang terperuk di hadapan komputer selama berjam-jam tetapi apakah pencapaian yang mereka dapat tunjukkan secara fizikal? Setem tidak memerlukan campur tangan orang lain kerana anda adalah pembuat keputusan," luahnya yang sentiasa memeriksa keadaan setem agar terpelihara.

Hanya sebahagian koleksinya disimpan di rumah termasuk koleksi setem yang memaparkan gambar para angkasawan, watak komik Superman, sukan, hidangan makanan Hong Kong, keagamaan, seni lukisan primitif dari Papua New Guinea, tempat pelancongan di Barbados dan bermacam-macam lagi.


ANTARA pingat yang diraih oleh C. Nagarajah daripada hobi mengumpul setem.


Senang cakap, namakan sahaja apa yang ingin dilihat dan Nagarajah akan tunjukkan.

Salah satu koleksi berharga beliau ialah setem pertama yang dikeluarkan di dunia iaitu pada 6 Mei 1840. Pejabat pos Penny Great Britain mengeluarkan setem rekaan seorang guru bernama, Sir Rowland Hill yang berharga satu Penny dan menampilkan profil Ratu Victoria. Oleh kerana ia dicetak hitam, setem satu sen ini dikenali sebagai Penny Black.

Turut tersimpan ialah setem Malaya yang pertama iaitu yang dikeluarkan oleh Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura pada 1867.

Walaupun sudah lama bersara sebagai ketua kerani di sektor kerajaan, Nagarajah tetap aktif dengan perlantikannya sebagai Ahli Jawatankuasa Reka Bentuk Setem, Pos Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Setem. Beliau juga dianugerahi gelaran AMN dan PPN pada tahun 1991 dan 1992, masing-masing atas sumbangannya dalam bidang ini.

Dari semasa ke semasa, beliau mengadakan bengkel untuk mencurahkan pengetahuan dan ilmu mengumpul setem kepada golongan muda. Sambil membawa koleksinya untuk diperagakan, Nagarajah bangga bertanding di peringkat antarabangsa. Berbeza dengan pertandingan lain, setiap koleksi setem dinilai berdasarkan mutu, kualiti dan kelengkapan masing-masing.


C.NAGARAJAH sentiasa menambah ilmu tentang mengumpul setem menerusi pembacaan jurnal dan buku berkaitan.


"Saya pernah menang pingat di Taipei, India, Jepun dan Singapura serta melawat banyak negara kecuali Amerika Selatan dan Afrika Selatan kerana hobi ini. Malah tiga bulan lalu, saya menjadi juri di Thailand," katanya yang merupakan penyumbang bagi majalah Dewan Pelajar selama 10 tahun.

"Jika anda pandai, hobi ini boleh bertukar menjadi satu pelaburan yang menguntungkan. Mengetahui bahawa setem yang dijual pada harga yang tinggi tidak boleh dikenakan cukai kerajaan, ramai orang Singapura beralih angin kepada hobi ini," kata Nagarajah yang turut mengumpul sudu peringatan, duit lama dan poskad.


DIPETIK DARI AKHBAR KOSMO BERTARIKH 25/04/2009

anak dan sepupu bermain tarik upih.

Permainan budak-budak---tarik upih.