Rabu, 27 Mei 2009

Setem 100 Tahun Pengakap Malaysia


Sep 9th, 2008 | By admin | Category: Malaysian Stuff

KUALA LUMPUR, Selasa – Pos Malaysia mengeluarkan Setem Kenang-Kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama sempena memperingati Ulang Tahun ke-100 Persekutuan Pengakap Malaysia. Setem Kenang-Kenangan tersebut akan memaparkan imej-imej yang berkaitan dengan identiti Persekutuan Pengakap Malaysia.

Kegiatan berpengakap merupakan suatu kaedah pendidikan dan latihan bagi pelajar-pelajar sekolah di masa kini dan sebagai aktiviti kokurikulum yang amat diminati. Menerusi kegiatan berpengakap, pelbagai perkara dapat dipelajari diantaranya kepimpinan, bekerja secara berkumpulan (sistem berpatrol), kemahiran, minggu kerja, permainan dan nyanyian.

Kepelbagaian kegiatan dan aktiviti ini telah menimbulkan minat yang mendalam dikalangan ahlinya dengan menjalani beberapa ujian kemahiran dan ilmu pengetahuan. Kejayaan yang diperolehi itu diktiraf dengan pemakaian lencana dan anugerah yang di perakukan oleh para Pemimpin Pengakap mereka. Diantara anugerah yang tertinggi itu ialah Anugerah Lencana Pengakap Raja.

Anugerah ini diberikan kepada Ahli Pengakap yang telah menjalani latihan dan kemahiran semasa di peringkat sekolah menengah lagi. Sijil Anugerah Pengakap Raja ini turut mendapat perkenan dan ditandatangani oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan-Sultan dan Raja-Raja negeri-negeri.

Logo Sambutan Ulangtahun Ke-100 Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang dibentuk adalah bercirikan prinsip asas Pergerakan Pengakap Sedunia dengan tema Satu Dunia Satu Persetiaan.

Nombor satu yang tertera di logo tersebut melambang PPM sebagai sebuah pergerakan yang unggul yang berteraskan pendidikan dan kemahiran ilmu pengetahun. Emblem Persekutuan Pengakap Malaysia yang diapit oleh Emblem Pergerakan Pengakap Sedunia dan kibaran Jalur Gemilang melambangkan Persekutuan sentiasa mendukung dan menjalinkan hubungan yang padu dalam merealisasikan pembangunan pergerakan Pengakap di Malaysia bertepatan dengan misi dan visi Pengakap Sedunia serta selaras dengan pembentukan wawasan negara.

Ilustrasi burung melambangkan kesepaduan pergerakan Pengakap dalam merealisasikan rancangan pembangunan berterusan Persekutuan Pengakap Malaysia.

“Sepanjang 100 tahun penubuhan, sejarah Persekutuan Pengakap Malaysia berkait rapat dengan sejarah Malaysia. Adalah menjadi kebanggaan buat Pos Malaysia Berhad untuk mengeluarkan Setem Kenang-Kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama ini bagi meluahkan rasa penghargaan kami terhadap usaha berterusan Persekutuan Pengakap Malaysia dalam memupuk sikap disiplin, kerja berpasukan dan kepimpinan di kalangan anggotanya,” kata Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pemangku Pengarah Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad.

“Kami berharap orang ramai dapat bersama-sama memberi penghargaan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia di atas segala sumbangannya kepada rakyat Malaysia dengan mendapatkan setem-setem dan Sampul Surat Hari Pertama ini,” tambah Datuk Abu Huraira lagi.

Setem-setem tersebut, berukuran 40mm X 30mm, dicetak sebanyak 20 setem sehelai di atas kertas tera air SPM bersalut fosfor dan boleh didapati dalam tiga denominasi seperti berikut:

30sen : Permulaan Berpengakap (1908) - Pembacaan Peta

ms stamp1 Setem 100 Tahun Pengakap Malaysia

Pembacaan Peta merupakan satu latihan survival dan navigasi yang diperkenalkan seawal tahun 1908. Menerusi ilmu kemahiran ini ahli pengakap dapat mempelajari keadaan sekitar, rupa bentuk muka bumi yang berbagai. Kemahiran ini juga dapat dipraktikkan dengan lebih efektif lagi apabila ahli Pengakap menjalankan aktiviti pengembaraan, ekspedisi dan penerokaan di sesuatu tempat.

50sen : Era Pembangunan (1957-1987) – Titian Monyet

ms stamp2 Setem 100 Tahun Pengakap Malaysia

Titian Monyet merupakan salah satu aktiviti merentas halangan dan kegiatan yang boleh membina keyakinan diri dan nilai-nilai murni dikalangan ahli Pengakap. Latihan yang diperkenalkan kepada ahli-ahli Pengakap ini adalah sebagai satu wadah dalam pembentukan jati diri dan sahsiah yang cemerlang dengan menilai tahap kemahiran dan psikologi di dalam diri.

RM1.00 : Pengakap Masa Kini (1988-2008) – Aktiviti Air

ms stamp3 Setem 100 Tahun Pengakap Malaysia

Kepelbagaian aktiviti seperti berkayak, berenang dan menyelam yang diperkenalkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia menerusi Unit Pengakap Marin telah menarik lebih ramai lagi penyertaan ahli-ahli pergerakan Pengakap di seluruh negara. Menerusi aktiviti seperti ini ahli-ahli Pengakap lebih yakin lagi dalam menjalankan latihan dan kegiatan di air.

Kecenderungan latihan ini turut diiktiraf dengan latihan progresif Bronze Medallion dan Bronze Cross oleh Persatuan Penyelamat Nyawa Kebangsaan. Unit Pengakap Marin turut membentuk Unit Penyelamat dan Pengawal Pantai yang dipelopori oleh Pasukan Kelana.

Sampul Surat Hari Pertama dijual pada harga 30 sen setiap satu dan boleh didapati di semua pejabat pos. Folder berharga RM 5.50 hanya terdapat di pejabat-pejabat pos yang terpilih sahaja.

Pengumpul setem digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli SODA (Standing Order Deposit Account) untuk mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos semasa hari keluaran.

Selain itu, pelanggan juga kini dapat menikmati lebih kemudahan online menerusi Philately Online di www.posonline.com.my untuk membuka akaun SODA, menambah nilai serta memeriksa baki akaun SODA, serta mengemaskinikan butir-butir peribadi mereka.

Untuk keterangan lanjut sila layari laman web www.pos.com.my atau kunjungi pejabat pos terdekat atau Bahagian Setem dan Filateli di Tingkat 1, Bangunan Pelabat Pos Besar, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur. Hubungi 03-2275 6569 atau e-mel filateli@pos.com.my untuk mendapatkan keterangan selanjutnya.

Source: Fox Rovers, Johor Rovers & Quber Scout

Setem Audrey Hepburn 'merokok' dilelong.

JURULELONG, Elisabeth Schlegel menunjukkan poster yang memaparkan setem wajah Audrey Hepburn dalam aksi 'merokok' di Berlin dalam gambar fail 27 Mac lalu. - AP

BERLIN 26 Mei - Seorang pengumpul setem, bakal mengaut keuntungan lumayan selepas menemui sekeping setem yang menunjukkan wajah aktres terkenal Britain, Audrey Hepburn menghisap rokok.

Setem yang sukar ditemui itu termasuk dalam siri yang sepatutnya dibakar oleh kerajaan Jerman.

Kerajaan pada 2001 mencetak 14 juta keping setem Audrey Hepburn sebagai sebahagian siri setem yang memaparkan bintang filem seperti Charlie Chaplin, Marilyn Monroe dan Greta Garbo.

Cetakan setem Hepburn dimusnahkan selepas anak lelaki mendiang, Sean Ferrer enggan memberikan hak cipta kerana membantah wajah ibunya dipaparkan dengan pemegang rokok tergantung di mulut aktres itu.

Namun, Kementerian Kewangan sudah pun menyerahkan cetakan awal setem Hepburn itu kepada Jabatan Pos Jerman, Deutsche Post untuk kelulusan.

Sebanyak 30 keping daripada setem cetakan awal itu terselamat daripada dibakar kerana digelapkan oleh seorang kakitangan yang menggunakannya untuk mengirim surat yang dicap pos dari Berlin.

Tawaran harga minimum 30,000 euro (RM151,052) ditetapkan untuk setem tersebut, salah satu daripada lima keping yang diketahui masih wujud, semasa lelongan di Kempinski Hotel Bristol di sini hari ini.

"Kita hanya boleh menduga, orang yang mengambil setem-setem Hepburn daripada Deutsche Post tidak menyedari nilai sebenarnya, dan menyangka mereka boleh menjimatkan AS$0.55 (RM1.98) dengan melekatkannya pada surat biasa," kata jurulelong, Andreas Schlegel.

Setem yang dilelong hari ini merupakan setem Hepburn kelima yang muncul sejak 2004, selebihnya dipercayai mengalami nasib yang sama seperti kebanyakan setem yang lain iaitu dibuang ke dalam tong sampah, kata Schlegel.

Ferrer menaruh harapan pengumpul berkenaan akan menggunakan hasil lelong itu untuk menyokong penyelidikan kanser atau kempen antirokok.

Audrey Hepburn meninggal dunia pada 1993 akibat kanser kolon. - AP

Dipetik dari BERNAMA bertarikh 27/05/2009

SEJARAH PERKHIDMATAN POS DI MALAYSIA


Sejarah Pos Malaysia bermula seawal tahun 1800-an dengan penubuhan perkhidmatan pos yang pertama di Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) dan menjelang awal kurun ke-20, perkhidmatan pos meliputi seluruh Malaya.

Surat-surat kemudian disampaikan melalui penghantar surat atau utusan khas. Berbanding setem pos berbayar, bayaran perkhidmatan dikutip apabila surat-surat dihantar ke pejabat pos. Resit akan diberikan bagi surat-surat yang dipos.

Bagaimanapun sistem ini berubah apabila setem-setem India mempunyai cetakan mahkota dan setem-setem Selat cetakan dolar dan sen diperkenalkan pada 1867. Setem-setem pos berbayar pertama telah diperkenalkan pada 1901.

Bermula sebagai satu saluran penghantaran surat, dokumen surat khabar dan perniagaan, perkhidmatan pos kemudiannya berkembang menjadi pembekal perkhidmatan yang berganda. Ia mula menceburi ke dalam perkhidmatan penghantaran bungkusan, pendaftaran, insurans, urusniaga wang (Wang Pos dan Kiriman Pos) serta pelaburan dana (Simpanan Bank Pejabat Pos).

Perkhidmatan pos yang ketika itu dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Pos, juga mula mengambil alih pelbagai perkhidmatan bagi pihak agensi-agensi kerajaan. Ia dimulakan dengan mengutip bayaran bil elektrik, jualan lesen anjing, bayaran pencen, jualan lesen televisyen dan sebagainya.

Setelah mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia memulakan penyertaan secara aktif di dalam pertubuhan antarabangsa agar seiring dengan pembangunan sosial dan ekonomi. Antara lain, ia menjadi ahli Kesatuan Pos Sejagat (UPU) pada 17 Januari 1958, satu penyertaan di mana Malaysia menjadi ahli yang dinamik sehingga ke hari ini.

Setelah negara melangkah ke abad 21, perkhidmatan pos di Malaysia yang lebih dikenali sebagai Pos Malaysia Berhad terus berusaha untuk memenuhi permintaan dan keperluan pasaran dan tingkahlaku pelanggan yang sering berubah.

Awal tahun 1992, Pos Malaysia Berhad telah mencipta sejarah dengan membuat perubahan besar sejajar dengan kebebasan perniagaan. Dengan kebebasan, muncul pula satu cabaran yang lebih hebat. Berdepan dengan persaingan yang kompetitif, Pos Malaysia Berhad memulakan perjalanannya dengan mengukuhkan operasinya melalui pengasingan perniagaan yang terdiri daripada empat unit utama Perniagaan Strategik yang dinamakan PosMel, PosLaju, PosNiaga dan PosLogistik.


MUZIUM SETEM MELAKA

Setem merupakan aset yang sangat berharga dari segi kesenian, kewangan dan sejarah kepada yang menghargainya. Penggemarnya akan membelanjakan banyak wang, tenaga dan masa bagi memastikan setem-setem yang jarang ditemui, kerana telah lama tidak diterbitkan, berada dalam simpanan mereka. Mengikut sejarah, setem dicipta bagi memudahkan bayaran bagi surat dan bungkusan yang dihantar melalui sistem pos milik kerajaan. Oleh yang demikian, ia mempunyai sejarah yang panjang dan berwarna-warni, seindah reka bentuk yang pelbagai. Setem adalah satu wadah yang terbaik dan agak murah bagi merakam peristiwa, alam semulajadi dan tokoh penting dalam sejarah dalam sesebuah negara. Tidak hairanlah, semakin tua usia sekeping setem, nilainya juga bertambah tinggi.

Adalah diharapkan Muzium Setem Melaka ini secara tidak langsung dapat mendedahkan dan menyebarkan pengetahuan mengenai pembangunan, kebudayaan, pelajaran, sukan, flora dan fauna serta pencapaian negara dalam segal bidang kepada orang ramai melalui setem. Selain daripada itu, pengisian yang terdapat di muzium ini diharap dapat menjadi pendorong kepada rakyat di segenap lapisan untuk menghayati dan menghargai warisan sejarah melalui bacaan dan pemahaman terhadap bahan-bahan yang dipamerkan.

Antara objektifnya adalah:

Memberi kesedaran kepada orang ramai terutama sekali kanak-kanak, mengenai sejarah perkembangan setem di Malaysia dan seluruh dunia

Menggalak dan mengembangkan kegemaran mengumpul setem di kalangan rakyat Malaysia

Menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai pelbagai peristiwa bersejarah serta orang-orang yang menempanya sama ada di Malaysia atau di tempat-tempat lain di dunia, yang kesemuanya diabadikan dalam bentuk setem.

Bayaran tiket masuk : Dewasa ------------------RM 1.00

Kanak-kanak / Pelajar-----RM 0.50

Waktu Operasi : 9 pagi----5.30 petang ( dibuka setiap hari)


Dipetik Dari Laman Web Muzium Melaka.

SETEM DAN FILATELI

Apakah itu Filateli?

Filateli boleh ditafsirkan sebagai mengumpul dan menyusun bahan-bahan pos seperti setem-setem bayaran pos, laluan-laluan pos, surat-surat, sampul-sampul dan sebagainya. Koleksi ini, sama ada setem, sampul dan sebagainya lazimnya, didokumenkan untuk tujuan mengesan acara-acara utama yang bersejarah dan acara-acara lain.

Tidak dapat dibuktikan bila filateli mula-mula dijadikan sebagai satu hobi kerana tidak ada sebarang dokumen untuk mengesahkannya. Namun, apa yang pasti ialah filateli hanya bermula setelah setem-setem bayaran pos diperkenalkan pada 1840.

Pengenalan Album setem yang diperkenalkan telah memudahkan koleksi setem. Album pertama dihasilkan di England pada 1852. Apabila lebih banyak setem-setem bayaran pos didapati, maka hobi mengumpul setem menjadi agak biasa. Bertambah ramai orang menaruh minat dalam hobi mengumpul setem dan filateli kemudiannya mula berkembang. Ramai pengumpul-pengumpul setem yang serius muncul dan salah satu koleksi setem terbesar dan tertua di dunia adalah dimiliki oleh Ratu England. DYTM Raja Muda Selangor juga ada memiliki koleksi setem yang baik.

Perkataan "filateli" dikatakan telah dicipta di Perancis oleh Georges Herpin pada 1864. Ia berasal daripada dua perkataan Yunani: "philos" bermakna mengasihi dan "llateleiall" bermaksud bebas daripada pembayaran. Pada asalnya filateli lebih terbatas kepada kajian label-label, melambangkan pembayaran untuk perkhidmatan pos. Daripada sini, ia diperluaskan untuk merangkumi kajian mengumpul setem bayaran pos secara sistematik, poskad, sampul surat pos, tanda pos dan bahan-bahan pos yang lain.

Dipetik dari laman web Pos Malaysia.