KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Fenomena kehadiran ribuan sotong yang muncul di pesisiran pantai Batu Rakit, Terengganu sejak beberapa hari lalu tiada kaitan dengan ancaman tsunami, kata ketua Pengarah Bahagian Geofizik Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Rozaidi Che Abas.
Menurut beliau, keadaan itu kemungkinan berpunca daripada perubahan suhu air laut yang lebih sejuk di perairan cetek berbanding suhu di laut dalam yang menyebabkan sotong itu lebih selesa berada di pesisiran pantai.
Selain itu, Rozaidi berkata kehadiran sotong tersebut juga dapat dikaitkan dengan kesan perubahan arus laut yang membawa makanan haiwan laut itu ke kawasan kedalaman air laut yang kurang daripada sembilan meter.
"Kemunculan udang baring yang banyak terdapat di kawasan itu juga dapat menarik perhatian sotong untuk naik ke pantai dan memakannya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun, keadaan ini hanya bersifat sementara dan bergantung kepada perubahan arus dan suhu laut itu sendiri.
"Jadi orang ramai tidak perlu bimbang dengan fenomena ini dan selamat untuk melakukan sebarang aktiviti pelancongan dan penangkapan ikan.
"Pihak Meteorologi akan mengeluarkan amaran kepada orang ramai jika dapat mengesan sebarang tanda ancaman tsunami dan akan memaklumkannya melalui pihak media," katanya.
Ahad lalu, penduduk berhampiran pantai Batu Rakit digemparkan dengan kemunculan sotong tersebut dan menimbulkan kebimbangan kepada segelintir penduduk terhadap ancaman tsunami.
-- DIPETIK DARI BERNAMA BERTARIKH 24/04/2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan