Kuala Lumpur, 20 Mac 2009 Jumaat - Pos Malaysia telah mengeluarkan setem khas dan Sampul Surat Hari Pertama bertemakan Pakaian Tradisional Pengantin pada 23 Mac 2009. Setem-setem tersebut memaparkan pakaian tradisional yang digunakan oleh pengantin pelbagai kaum di Malaysia.
Koleksi setem Pakaian Tradisional Pengantin ini dapat memberi peluang kepada para pengumpul setem untuk mengenali dengan lebih dekat lagi tentang pakaian tradisional yang terdapat di negara kita. Dengan itu, lebih ramai orang akan dapat mengamati kecantikan dan kehalusan seni tangan buatan Malaysia yang dipaparkan pada fabrik seperti corak-corak yang ditenun pada kain serta sulaman dan jahitan manik. Koleksi ini juga memperlihatkan kekayaan budaya dan seni Malaysia.
“Setem-setem Khas dan Sampul Surat Keluaran Hari Pertama ini akan menjadi satu lagi koleksi yang mesti dimiliki kerana ini merupakan kali pertama bagi Pos Malaysia untuk menerbitkan setem yang bertemakan perkahwinan tradisional. Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, kami sentiasa memaparkan keunikan jenama Malaysia melalui kecantikan dan warisan budayanya pada setem-setem kami”, kata Dato’ Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia.
Setem-setem tersebut berukuran 30 mm x 50 mm, dicetak sebanyak 20 setem sehelai di atas kertas tera air SPM bersalut fosfor dan kesemuanya adalah di dalam denominasi 50 sen.
- Melayu
Pasangan pengantin Melayu memakai busana tradisional pengantin dari songket bercorak tenunan bunga tabur. Pengantin perempuan memakai Baju Kebaya Labuh potongan klasik yang dipadankan dengan kain sarung dan selendang sedondon. Hiasan kepala sanggul lintang dan lain-lain aksesori melengkapkan dirinya sebagai raja sehari. Pengantin lelaki memakai Baju Kurung Cekak Musang dengan tengkolok, bengkong, samping dan keris sebagai pelengkap majlis perkahwinan. Bunga telur, yang merupakan hiasan yang biasa digunakan semasa perkahwinan turut dipaparkan di latar belakang setem ini. - Cina
Pasangan pengantin Cina kelihatan anggun berpakaian tradisional warisan dahulukala. Pengantin perempuan memakai sepasang jaket bersama kain panjang yang diperbuat dari kain sutera yang disulam berwarna merah. Bahagian leher jaketnya boleh ditanggalkan dan menampilkan reka bentuk menyerupai pelepah burung ‘phoenix’. Hiasan di kepala pengantin perempuan diperbuat dari perak bersadurkan emas dan pelepah burung raja udang sereta mutiara dan bebola merah. Pengantin lelaki pula memakai jubah panjang kain sutera bersulam dengan corak naga bersama dengan topi hitam berambu merah.
Kombinasi naga dan burung ’phoenix’ melambangkan keseimbangan kuasa lelaki dan perempuan. Warna merah yang menjadi pilihan sejak Dinasti Ming dan simbol ”kebahagiaan berganda” di latar belakang setem menandakan nasib yang baik dan merupakan lambang untuk cinta dan kemewahan. - India
Setem ini memaparkan pasangan pengantin India yang memakai pakaian pengantin tradisional yang berwarna-warni. Pengantin perempuan memakai sari bersama blaus sutera bersulam benang emas manakala pengantin lelaki memakai Vashtee, iaitu baju jenis kemeja berlengan panjang beserta kain kapas yang ditenun dengan benang emas. Juga terdapat hiasan bunga di kepala pengantin perempuan manakala kedua-dua pengantin memakai kalung bunga di leher dan gubahan bunga di tangan. Di latar belakang setem adalah gambar kalung bunga yang biasa digunakan semasa majlis perkahwinan. - Orang Ulu
Pengantin lelaki Orang Ulu menggayakan sunong dan bah berhias manik serta perhiasan kepala daripada bulu binatang dan anyaman manik. Pengantin perempuan Orang Ulu pula menggayakan busana dipanggil basung dan ta'ah berhias labuci dan lavung doh, iaitu hiasan kepala yang menarik.
Bunga Jarau, sejenis perhiasan yang diperbuat daripada kayu pada latar belakang setem merupakan salah satu barangan yang digunakan semasa upacara perkahwinan. - Bajau
Pengantin perempuan Bajau memakai badu sipak iaitu blaus yang diperbuat dari kain satin berwarna kuning dengan lengan mengembang dan mendedahkan blaus dalam yang berlainan warna serta Olos Berangkit iaitu kain panjang lilit dengan panel berangkit di bahagian depan. Perhiasan lain seperti Mandapun iaitu aksesori bertatahkan daun emas atau perak dipakai di leher manakala Sarempak, aksesori kepala berbentuk kapal berwarna emas dan garigai tergantung dari sanggul di kepala. Aksesori lain seperti gelang, ingkot pangkat iaitu tali pinggang perak dan keku, iaitu penutup kuku panjang berwarna emas turut melengkapkan busana pengantin perempuan.
Pengantin lelaki pula memakai badu, iaitu pakaian yang diperbuat dari kain satin berwarna hijau dengan lengan mengembang dan mendedahkan baju dalam yang berlainan warna beserta suar, iaitu sejenis seluar. Busana pengantin lelaki Bajau dilengkapkan dengan kain dastar di kepala dan ingkot pangkat bersama supu dan kain ikat pinggang.
Tipo Serisir, sejenis tikar yang diperbuat dari sutera dan anyaman manik di latar belakang setem merupakan aksesori yang biasa digunakan di majlis perkahwinan.
Pengumpul setem digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli SODA (Standing Order Deposit Account) untuk mendapatkan setem-setem dan produk filateli lain yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia tanpa perlu beratur di pejabat pos semasa hari keluaran. Selain itu, pelanggan juga kini dapat menikmati lebih kemudahan online menerusi Philately Online di www.posonline.com.my untuk membuka akaun SODA, menambah nilai serta memeriksa baki akaun SODA, serta mengemaskinikan butir-butir peribadi mereka.
Untuk keterangan lanjut sila layari laman web www.pos.com.my atau kunjungi pejabat pos terdekat atau Bahagian Setem dan Filateli di Tingkat 1, Bangunan Pejabat Pos Besar, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur. Hubungi 03-2274 1122 ext. 6830 atau e-mel filateli@pos.com.my untuk mendapatkan keterangan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan