Isnin, 20 Julai 2009

Pos Malaysia Bawa Koleksi Setem Ke Korea Selatan.



KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Koleksi setem Malaysia yang dikeluarkan pada 1999 hingga sekarang akan dipamer dan dijual di Pameran Setem Phila Korea 2009 yang akan berlangsung di Seoul akhir bulan ini.

Kira-kira 10,000 keping setem dalam koleksi itu akan dijual pada pameran yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran, Seoul pada 30 Julai hingga 4 Ogos ini, kata Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Yasmin Ramli.

Antara setem yang akan dijual merupakan koleksi rekabentuk Pokok Palma, katanya kepada pemberita di Galeri Setem di sini Isnin.

Beliau berkata orang ramai berpeluang melihat koleksi setem itu di Jabatan Kimia, Petaling Jaya, esok dan Rabu ini, sempena ulang tahun ke-100 Jabatan itu.

Yasmin berkata Pos Malaysia turut memperkenalkan koleksi setem khas dan sampul surat hari pertama bertemakan 'Tumbuhan Berubi' yang akan mula dijual Khamis ini.

Beliau berkata koleksi setem yang menampilkan empat reka bentuk iaitu Ubi Keledek, Ubi Kayu, Sengkuang dan Ubi Badak itu bertujuan memperkenalkan tumbuhan berubi kepada masyarakat terutama pelajar sekolah.

"Setem-setem itu dijual pada harga 30 sen bagi Ubi Keledek dan Ubi Kayu manakala yang berharga 50 sen bagi Sengkuang dan Ubi Badak yang terhad kepada 960,000 cetakan," katanya.

Yasmin berkata koleksi dengan tema yang sama turut dijual pada produk filateli lain seperti sampul surat hari pertama, lembaran mini dan folder.

-- BERNAMA
20 Julai, 2009

Tiada ulasan: