Rabu, 27 Mei 2009

MUZIUM SETEM MELAKA

Setem merupakan aset yang sangat berharga dari segi kesenian, kewangan dan sejarah kepada yang menghargainya. Penggemarnya akan membelanjakan banyak wang, tenaga dan masa bagi memastikan setem-setem yang jarang ditemui, kerana telah lama tidak diterbitkan, berada dalam simpanan mereka. Mengikut sejarah, setem dicipta bagi memudahkan bayaran bagi surat dan bungkusan yang dihantar melalui sistem pos milik kerajaan. Oleh yang demikian, ia mempunyai sejarah yang panjang dan berwarna-warni, seindah reka bentuk yang pelbagai. Setem adalah satu wadah yang terbaik dan agak murah bagi merakam peristiwa, alam semulajadi dan tokoh penting dalam sejarah dalam sesebuah negara. Tidak hairanlah, semakin tua usia sekeping setem, nilainya juga bertambah tinggi.

Adalah diharapkan Muzium Setem Melaka ini secara tidak langsung dapat mendedahkan dan menyebarkan pengetahuan mengenai pembangunan, kebudayaan, pelajaran, sukan, flora dan fauna serta pencapaian negara dalam segal bidang kepada orang ramai melalui setem. Selain daripada itu, pengisian yang terdapat di muzium ini diharap dapat menjadi pendorong kepada rakyat di segenap lapisan untuk menghayati dan menghargai warisan sejarah melalui bacaan dan pemahaman terhadap bahan-bahan yang dipamerkan.

Antara objektifnya adalah:

Memberi kesedaran kepada orang ramai terutama sekali kanak-kanak, mengenai sejarah perkembangan setem di Malaysia dan seluruh dunia

Menggalak dan mengembangkan kegemaran mengumpul setem di kalangan rakyat Malaysia

Menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai pelbagai peristiwa bersejarah serta orang-orang yang menempanya sama ada di Malaysia atau di tempat-tempat lain di dunia, yang kesemuanya diabadikan dalam bentuk setem.

Bayaran tiket masuk : Dewasa ------------------RM 1.00

Kanak-kanak / Pelajar-----RM 0.50

Waktu Operasi : 9 pagi----5.30 petang ( dibuka setiap hari)


Dipetik Dari Laman Web Muzium Melaka.

Tiada ulasan: