Rabu, 27 Mei 2009

Setem Audrey Hepburn 'merokok' dilelong.

JURULELONG, Elisabeth Schlegel menunjukkan poster yang memaparkan setem wajah Audrey Hepburn dalam aksi 'merokok' di Berlin dalam gambar fail 27 Mac lalu. - AP

BERLIN 26 Mei - Seorang pengumpul setem, bakal mengaut keuntungan lumayan selepas menemui sekeping setem yang menunjukkan wajah aktres terkenal Britain, Audrey Hepburn menghisap rokok.

Setem yang sukar ditemui itu termasuk dalam siri yang sepatutnya dibakar oleh kerajaan Jerman.

Kerajaan pada 2001 mencetak 14 juta keping setem Audrey Hepburn sebagai sebahagian siri setem yang memaparkan bintang filem seperti Charlie Chaplin, Marilyn Monroe dan Greta Garbo.

Cetakan setem Hepburn dimusnahkan selepas anak lelaki mendiang, Sean Ferrer enggan memberikan hak cipta kerana membantah wajah ibunya dipaparkan dengan pemegang rokok tergantung di mulut aktres itu.

Namun, Kementerian Kewangan sudah pun menyerahkan cetakan awal setem Hepburn itu kepada Jabatan Pos Jerman, Deutsche Post untuk kelulusan.

Sebanyak 30 keping daripada setem cetakan awal itu terselamat daripada dibakar kerana digelapkan oleh seorang kakitangan yang menggunakannya untuk mengirim surat yang dicap pos dari Berlin.

Tawaran harga minimum 30,000 euro (RM151,052) ditetapkan untuk setem tersebut, salah satu daripada lima keping yang diketahui masih wujud, semasa lelongan di Kempinski Hotel Bristol di sini hari ini.

"Kita hanya boleh menduga, orang yang mengambil setem-setem Hepburn daripada Deutsche Post tidak menyedari nilai sebenarnya, dan menyangka mereka boleh menjimatkan AS$0.55 (RM1.98) dengan melekatkannya pada surat biasa," kata jurulelong, Andreas Schlegel.

Setem yang dilelong hari ini merupakan setem Hepburn kelima yang muncul sejak 2004, selebihnya dipercayai mengalami nasib yang sama seperti kebanyakan setem yang lain iaitu dibuang ke dalam tong sampah, kata Schlegel.

Ferrer menaruh harapan pengumpul berkenaan akan menggunakan hasil lelong itu untuk menyokong penyelidikan kanser atau kempen antirokok.

Audrey Hepburn meninggal dunia pada 1993 akibat kanser kolon. - AP

Dipetik dari BERNAMA bertarikh 27/05/2009

Tiada ulasan: