Sabtu, 25 April 2009

KEMALANGAN PADA 1/7/2008 DI JENGKA.


ARKIB : 02/07/2008

2 warga emas maut nahas

MARAN 1 Julai - Dua warga emas maut selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk sebuah bas kilang di Kilometer 24, Jalan Maran-Bandar Jengka, dekat Maran, awal pagi tadi.

Mangsa yang terbunuh ialah penunggang motosikal, A. Hamid Jusoh, 57, dari Felda Jengka 7 dan penumpang kereta, Mohd. Din Samsuddin, 61, dari Felda Jengka 2.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu berlaku apabila motosikal yang dinaiki A. Hamid yang dalam perjalanan dari arah Jengka menuju Maran dipercayai dilanggar kereta yang dinaiki Mohd. Din dari arah belakang.

''Selepas itu, kereta berkenaan terbabas dan berlanggar pula dengan sebuah bas kilang yang datang dari arah bertentangan.

''Kejadian itu menyebabkan A. Hamid terpelanting di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurut beliau, Mohd. Din yang duduk di bahagian belakang kereta meninggal dunia di Hospital Jengka akibat cedera parah.

Katanya lagi, pemandu dan empat lagi penumpang bas kilang berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

''Turut menerima rawatan pesakit luar ialah pemandu dan penumpang kereta tersebut yang mengalami kecederaan ringan," katanya.

Kes berkenaan, tambah beliau, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

DIPETIK DARI AKHBAR UTUSAN MALAYSIA.


Tiada ulasan: