Sabtu, 25 April 2009

KEMALANGAN PADA 1/7/2008 DI JENGKA.




2 warga emas terbunuh, lima cedera dalam nahas

Kereta terbabas selepas rempuh motosikal bertembung dengan bas

MARAN: Dua warga emas maut, lima cedera termasuk tiga parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan bas kilang, motosikal dan kereta, di Kilometer 24, Jalan Maran-Bandar Jengka, dekat Felda Jengka 4, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, A Hamid Jusoh, 57, dari Felda Kenanga, Jengka 7 dan Mohd Din Samsuddin, 61, dari Felda Jengka 2, dekat sini, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bandar Jengka (HBJ) akibat cedera parah di kepala.

Mangsa yang parah dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh ialah pemandu bas, Sidek Mat Hussin, 60, dan dua penumpangnya, Ruziana Alias, 22, dan Norsam Salim, 27, manakala mangsa yang cedera ringan ialah anak perempuan Mohd Din, Normala, 27, dan Salina, 37.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata kejadian berlaku apabila A Hamid yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Jengka ke Maran, dilanggar dari arah belakang oleh kereta dipandu Normala.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke kiri jalan, manakala kereta dipandu Normala terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas kilang.

Katanya, bas kilang itu kemudian jatuh ke tebing, menyebabkan Sidek, Ruziana dan Norsam parah, manakala Normala, Salina dan Mohd Din yang duduk di belakang kereta tersepit.

"Mohd Din dan dua anak perempuannya yang tersepit dalam kereta Proton Wira berjaya dikeluarkan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Bandar Jengka.

"Semua yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, Mohd Din dan A Hamid disahkan meninggal dunia di HBJ ketika menerima rawatan akibat cedera di kepala," katanya di sini, semalam.

Mohd Johari berkata, polis masih meneruskan siasatan kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, saksi kejadian, Azmi Omar, 42, berkata dia cuba menenangkan Normala dan Salina selepas melihat mangsa menggelabah dan panik ketika melihat bapanya berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa sempat menjerit ketika menghubungi abangnya supaya datang segera ke tempat kejadian untuk melihat keadaan bapanya.

Tiada ulasan: