Direka oleh seorang guru bernama, Sir Rowland Hill, wartawan SUBASHINI RAJANDRA berpeluang melihat setem pertama di dunia yang dikeluarkan pada tahun 1840 oleh Pos Penny Great Britain yang dikenali sebagai 'Penny Black'.
HOBI mengumpul setem adalah salah satu aktiviti masa lapang tertua dan terkenal di serata dunia. Sewaktu muda, ramai dalam kalangan kita suka menyelak sampul surat yang dihantar ke rumah. Setem yang telah dicop disimpan sebagai koleksi persendirian dalam buku khas.
Hari ini, hobi silam itu jauh lebih popular daripada sekadar mengumpul dan menjaga kepingan setem yang berusia ratusan tahun. Dianggarkan hampir 25 juta orang di Amerika Syarikat (AS) masih giat dalam kerja-kerja mencari dan menyimpan setem secara terurus. Di peringkat dunia pula, hobi ini menjadi kegilaan sejumlah 200 juta orang pengumpul. Mereka ini diwakili atau disokong oleh 125,000 pembekal, pengeluar, katalog dan media percetakan yang tidak jemu memberi input perkembangan dunia setem terkini.
Persatuan dan kelab diwujudkan bagi membimbing dan menghimpunkan peminat setia setem dari seluruh negara. Pelbagai jenis pameran dan pertandingan setem diadakan di negara-negara seperti Thailand, India, Jepun, Britain dan AS. Sesekali, pameran terbesar mampu menarik sehingga 100,000 orang pengunjung dalam sehari iaitu lebih daripada penonton yang hadir menyaksikan sambutan Tahun Baru.
Seperti yang disebutkan terlebih dahulu, minat ini biasanya menguntum semasa berada di bangku sekolah dan ternyata perkara yang sama terjadi kepada C. Nagarajah, 71.
Beliau berjinak-jinak dengan hobi barunya yang dilihat sebagai unik dan tidak terkongkong kepada satu-satu topik. Sambil menyertai kelab sekolah yang menggalakkan penglibatan dalam hobi ini, Nagarajah saling bertukar setem dengan kawan-kawan.
"Hanya selepas saya bertambah matang, barulah saya sedar bahawa minat ini mempunyai nilai yang tinggi. Tahukah anda bahawa terdapat 12 kategori atau jenis pengumpulan setem? Antaranya ialah mengumpul setem mengikut tema seperti sukan, motokar, orang kenamaan serta sejarah sistem pos, negara dan lain-lain."
"Jangan berlagak pandai kumpul semua jenis setem kerana bukan sahaja ia cukup mahal tetapi ingat bahawa terdapat 200 negara yang mengeluarkan setem negara masing-masing," jelas Nagarajah yang merupakan ahli tertua Persatuan Pengumpul Setem Malaysia (PSM) yang ditubuhkan pada tahun 1947.
PSM mempunyai kira-kira 1,200 orang ahli di seluruh negara dan merupakan ahli Persekutuan Pengumpul Setem Inter-Asia (FIAP).
|
|
Persatuan ini mengeluarkan jurnal setem yang membincangkan bab pengenalan setem, percetakan, keistimewaan hinggalah hobi pengumpulan setem. Bagaimanapun, pada tahun 2000, penerbitan jurnal ini dihentikan dan C. Nagarajah yang menjadi ketua pengarang sejak tahun 1958 meletak jawatan.
"Kemudian saya memulakan penerbitan Buletin Filateli Malaysia pada 2004 tetapi terpaksa dihentikan pada tahun lalu kerana gagal mendapat tajaan luar," katanya yang meletak jawatan Naib Presiden Kanan PSM pada tahun 2000.
Kategori pengumpulan setem yang popular adalah mengikut negara tetapi Nagarajah menasihatkan supaya mengumpul setem dari negara sendiri kerana ia tidak mahal dan mudah diperoleh.
Oleh kerana pengeluaran setem bergantung sepenuhnya kepada imbangan pengeluaran dan permintaan, ada di antara setem mencapai harga berlipat ganda.
"Ini terutamanya berlaku pada setem lama yang sukar dicari dan harganya melonjak 20 atau 30 kali ganda. Ada juga setem yang 200 peratus lebih mahal daripada nilai asal," ujar Nagarajah yang mengkhusus kepada pengumpulan setem tradisional.
Negeri yang paling digemari ialah Kedah. Meskipun lahir di Teluk Intan, Perak, namun sebelum merdeka Kedah dikatakan menggunakan setem India dan juga dari negara Siam (Thailand).
|
|
Dia memiliki koleksi lengkap setem dari Kedah dan yang terawal adalah pada 1912.
"Saya sering berkongsi pandangan selain membeli setem lama dari pameran di luar negara. Lebih baik lakukan urusan jual beli di rumah lelongan seperti di London dan Australia kerana kutipannya lebih tinggi daripada kawan-kawan," ujarnya.
Nagarajah yang suka mengumpul setem yang telah dicop, menyimpan koleksinya dalam bentuk profil bertulis dengan sedikit penerangan tentang setem berkenaan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris. Jangan terkejut kerana setakat ini, Nagarajah adalah pemilik kepada sejuta setem yang disimpan selamat di bank.
"Tiada siapa dapat menyangkal bahawa setem adalah duta sesebuah negara yang 'bergerak'. Ia adalah seni miniatur yang diiktiraf. Kehilangan sekeping setem adalah umpama kehilangan seorang anggota keluarga."
Sambungnya: "Remaja sekarang terperuk di hadapan komputer selama berjam-jam tetapi apakah pencapaian yang mereka dapat tunjukkan secara fizikal? Setem tidak memerlukan campur tangan orang lain kerana anda adalah pembuat keputusan," luahnya yang sentiasa memeriksa keadaan setem agar terpelihara.
Hanya sebahagian koleksinya disimpan di rumah termasuk koleksi setem yang memaparkan gambar para angkasawan, watak komik Superman, sukan, hidangan makanan Hong Kong, keagamaan, seni lukisan primitif dari Papua New Guinea, tempat pelancongan di Barbados dan bermacam-macam lagi.
|
|
Senang cakap, namakan sahaja apa yang ingin dilihat dan Nagarajah akan tunjukkan.
Salah satu koleksi berharga beliau ialah setem pertama yang dikeluarkan di dunia iaitu pada 6 Mei 1840. Pejabat pos Penny Great Britain mengeluarkan setem rekaan seorang guru bernama, Sir Rowland Hill yang berharga satu Penny dan menampilkan profil Ratu Victoria. Oleh kerana ia dicetak hitam, setem satu sen ini dikenali sebagai Penny Black.
Turut tersimpan ialah setem Malaya yang pertama iaitu yang dikeluarkan oleh Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura pada 1867.
Walaupun sudah lama bersara sebagai ketua kerani di sektor kerajaan, Nagarajah tetap aktif dengan perlantikannya sebagai Ahli Jawatankuasa Reka Bentuk Setem, Pos Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Setem. Beliau juga dianugerahi gelaran AMN dan PPN pada tahun 1991 dan 1992, masing-masing atas sumbangannya dalam bidang ini.
Dari semasa ke semasa, beliau mengadakan bengkel untuk mencurahkan pengetahuan dan ilmu mengumpul setem kepada golongan muda. Sambil membawa koleksinya untuk diperagakan, Nagarajah bangga bertanding di peringkat antarabangsa. Berbeza dengan pertandingan lain, setiap koleksi setem dinilai berdasarkan mutu, kualiti dan kelengkapan masing-masing.
|
|
"Saya pernah menang pingat di Taipei, India, Jepun dan Singapura serta melawat banyak negara kecuali Amerika Selatan dan Afrika Selatan kerana hobi ini. Malah tiga bulan lalu, saya menjadi juri di Thailand," katanya yang merupakan penyumbang bagi majalah Dewan Pelajar selama 10 tahun.
"Jika anda pandai, hobi ini boleh bertukar menjadi satu pelaburan yang menguntungkan. Mengetahui bahawa setem yang dijual pada harga yang tinggi tidak boleh dikenakan cukai kerajaan, ramai orang Singapura beralih angin kepada hobi ini," kata Nagarajah yang turut mengumpul sudu peringatan, duit lama dan poskad.
DIPETIK DARI AKHBAR KOSMO BERTARIKH 25/04/2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan