Jumaat, 15 Mei 2009

Penumpang MH091 13 Mei Diminta Hubungi Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2009(Bernama) -- Berikutan pengesahan kes pertama influenza A(H1N1) di Malaysia, semua penumpang Penerbangan Malaysia MH091 dari New York, yang tiba di KLIA pada 7.15 pagi 13 Mei lepas, diminta menghubungi Kementerian Kesihatan kerana pesakit itu menaiki pesawat yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata penumpang boleh menghubungi kementerian menerusi talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk tindakan susulan.

Katanya kes pertama influenza A(H1N1) di Malaysia melibatkan pelajar lelaki berumur 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lepas dan mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam dan dimasukkan ke Hospital Buloh pada petang hari yang sama.

"Beliau telahpun diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Ismail dalam satu kenyataan Jumaat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang sedang transit di London, untuk menghadiri Perhimpunan Agong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, telah terdahulu hari ini mengesahkan kepada Bernama mengenai kes pertama itu.

Dr Ismail berkata Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk menghubungi ahli keluarga pelajar itu dan sejarah komunikasi beliau dengan penumpang serta anak kapal lain dalam pesawat yang sama dengannya.

Dr Ismail berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi influenza A(H1N1) di negara ini.

Kementerian Kesihatan dengan kerjasama semua agensi terlibat sentiasa meningkatkan pemantauan situasi dalam memastikan tindakan proaktif diambil bagi melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.

Kementerian telah meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa berwaspada dan merujuk segera kes-kes yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak influenza A(H1N1) dan mengalami demam serta satu daripada gejala berikut --- batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak -- ke hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sehingga 12 tengah malam 14 Mei, selain satu kes positif yang berkenaan itu, kementerian telah menerima 11 lagi notifikasi kes di mana enam dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh, dua kes di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban dan masing-masing satu kes di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baharu, bagi tujuan siasatan dan pemerhatian.

"Kesemua kes menunjukkan tanda-tanda jangkitan influenza dan mempunyai sejarah melawat negara yang dilanda wabak berkenaan. Sampel klinikal kesemua pesakit itu telah dihantar kepada IMR (Institut Penyelidikan Perubatan) untuk ujian makmal dan didapati negatif," katanya.

Pada masa ini, 20 pengimbas telah dipasang di pintu masuk negara dan sejumlah 9,324 individu yang tiba dari negara terbabit telah disaring.

"Tiada kes yang dirujuk ke hospital rujukan bagi tujuan penyiasatan," katanya.

Sehingga semalam, bilangan penumpang yang telah disaring di semua lapangan terbang antarabangsa ialah 82,236 orang.

Sehingga pukul 8 pagi ini, WHO telah memaklumkan satu negara lagi terjejas dengan influenza A(H1N1) iaitu Belgium melibatkan satu kes dan menjadikan jumlah keseluruhan negara terlibat 34 buah, dengan 7,457 kes influenza A(H1N1) disahkan.

Dua lagi kematian dilaporkan di Mexico, menjadikan keseluruhan kematian kepada 65 orang.



-- BERNAMA

Tiada ulasan: