Jumaat, 15 Mei 2009

Pos Malaysia Keluarkan Setem Unik Bertemakan Pokok Palma

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2009 (Bernama) -- Koleksi setem khas dan sampul surat hari pertama bertemakan spesies pokok palma akan mula dijual mulai Selasa depan.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Bhd Yasmin Ramli berkata koleksi setem yang menampilkan tiga rekabentuk itu bertujuan menyokong ke arah peningkatan dan memperkayakan pengetahuan masyarakat tentang alam semulajadi.

"Pokok palma memainkan peranan penting kepada manusia sejak dahulu kala. Banyak produk dan makanan didapati daripada pokok palma. Kini pokok palma sering kelihatan dijadikan sebagai pokok hiasan dalam rumah disebabkan rupanya yang istimewa," katanya.

Katanya koleksi dengan tema yang sama turut dijual pada produk filateli lain seperti sampul surat hari pertama, lembaran dan folder sebanyak 91,000 cetakan.

"Setem yang memaparkan spesies flora dan fauna yang unik itu dijual pada harga 50 sen dan terhad kepada 390,000 cetakan," katanya dalam majlis previu media sempena keluaran siri tersebut di sini, Jumaat.

Pos Malaysia juga akan mengeluarkan sampul surat kenangan bersempena penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada 31 Mei ini, katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: